Port Dickson dengan kegemilangannya yang unik menghiasi pinggir pantai Selat Melaka sepanjang kawasan perairan Negeri Sembilan. Ianya terletak 30km dari Seremban, kira-kira 60km dari KLIA, 55km dari Putrajaya – pusat baru pentadbiran negara, Cyberjaya – Koridor Raya Multimedia (MSC) negara dan lebih kurang 70km dari bandaraya Kuala Lumpur. Terdapat beberapa laluan untuk memasuki Port Dickson. Laluan yang paling sesuai untuk pengunjung Utara Semenanjung atau Selatan Semenanjung ialah dengan melalui Lebuhraya Utara – Selatan. Keluar dari jalan susur ke Seremban dan merentasi Lebuhraya Seremban – Port Dickson yang bermula dari tol Seremban. Laluan yang dihiasi dengan kehijauan alam semulajadi melalui Jalan Persekutuan membawa pengunjung terus ke pesisiran Pantai Port Dickson yang indah.
Latar Belakang
Majlis Perbandaran Port Dickson dirasmikan pada 2 Februari 2002 mempunyai kawasan seluas 140.32 km persegi (54.18 batu persegi). Kawasannya di bahagi kepada dua iaitu operasi seluas 35.87 km persegi manakala kawasan kawalan seluas 104.45 km persegi. Keluasan pusat bandar Port Dickson ialah 395.5 ekar atau 160.1 hektar.Sepanjang pantai Port Dickson memaparkan ciri perbandaran peranginan tepi pantai yang serba moden, kawasan pedalamannya pula menggabungkan adunan aktiviti pertanian, perdagangan dan perindustrian
Penduduk
Daerah Port Dickson mempunyai penduduk seramai lebih kurang 110,400 orang terdiri daripada 58,500 Melayu,28,200 Cina, 17,500 India dan 7,200 bangsa lain pada tahun 2000 berbanding seramai 92,171 pada tahun 1990.Penduduk dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Port Dickson pula seramai 94,725 orang pada tahun 2000 berbanding seramai 82,620 pada tahun 1990.Menjelang tahun 2010 jumlah penduduk di kawasan RTPD dianggarkan meningkat dengan pertumbuhan purata sebanyak 0.6% kepada 188,000 orang.