KERJA-KERJA PEMBERSIHAN (SPRING CLEANING) DI PERHENTIAN BAS HADAPAN BANGUNAN PEJABAT TENAGA NASIONAL BERHAD CAWANGAN PORT DICKSON
Port Dickson, 5 Mei 2026 – Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan (spring cleaning) di perhentian bas hadapan Bangunan Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Port Dickson. Tindakan ini diambil susulan aduan awam berkenaan tahap kebersihan yang tidak memuaskan di kawasan tersebut.
Hasil pemantauan mendapati terdapat penyalahgunaan kemudahan tong sampah yang disediakan, termasuk pembuangan sampah rumah oleh individu tidak bertanggungjawab. Perbuatan ini bukan sahaja menjejaskan kebersihan persekitaran, malah turut menyebabkan kerosakan terhadap fasiliti awam.
Tong sampah yang disediakan di setiap perhentian bas adalah khusus untuk kegunaan pengguna kemudahan tersebut bagi memastikan kawasan sentiasa bersih, teratur dan selesa.
Sehubungan itu, orang awam diingatkan bahawa kemudahan tong sampah di perhentian bas tidak disediakan untuk pembuangan sampah dari kediaman, dan sebarang penyalahgunaan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemarkan imej kawasan, malah memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat, khususnya generasi muda dalam usaha memupuk kesedaran menjaga alam sekitar.






