MESYUARAT PEMANTAUAN PROJEK BP1 SKALA KECIL BAGI PBT NEGERI SEMBILAN
Pada 6 Mei 2026, Majlis Perbandaran Port Dickson julung kali dipilih sebagai 'tuan rumah' bagi Mesyuarat Pemantauan Projek BP.1 Skala Kecil bagi PBT Negeri Sembilan. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pembangunan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Tuan Mas Midyawan bin Yahya. Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan hadir dalam sesi mesyuarat pantauan ini sebagai badan pemantau di peringkat negeri. Semua PBT dalam negeri hadir bagi membentangkan status pelaksanaan projek dalam daerah masing-masing.
Turut hadir mewakili Majlis Perbandaran Port Dickson(MPPD) ialah dari Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Perlesenan bagi sesi pembentangan pelaksanaan dan pengisian Mykiosk serta lawatan tapak projek.
Dalam mesyuarat ini, Pengerusi menekankan bahawa projek-projek yang telah diluluskan pada tahun 2026 hendaklah disiapkan dalam tahun semasa. Setiap PBT hendaklah melaksanakan projek-projek ini dengan segera dan secara lebih tersusun serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain membincangkan status pelaksanaan projek, pengerusi juga menyeru agar setiap PBT dapat bekerjasama antara satu sama lain untuk memajukan Negeri Sembilan.
Sesi petang pula ialah lawatan ke lokasi projek-projek tahun 2025 yang telah siap dilaksanakan. Lokasi yang dipilih ialah ke Projek Menaiktaraf Medan Ikan Bakar D’ Jeti di Batu 1, Port Dickson.
Lawatan tersebut turut memberi fokus kepada tahap keselesaan pengunjung, susun atur kemudahan awam serta suasana persekitaran kawasan bagi memastikan Medan Ikan Bakar D’ Jeti terus menjadi lokasi yang selesa dan menarik untuk pengunjung.
Selain itu, Pengarah Pembangunan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut mencadangkan agar satu kaji selidik kepuasan pelanggan serta pengumpulan maklum balas pengunjung dilaksanakan bagi membantu pihak MPPD menilai keberkesanan projek serta mengenal pasti cadangan penambahbaikan pada masa akan datang.






