LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD DI SEKITAR BANDAR PORT DICKSON
Lokasi: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Port Dickson
Kejadian banjir kilat yang berlaku ketika hujan lebat di dalam kawasan pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menarik perhatian Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk mengadakan lawatan turun padang ke lokasi berkenaan.
Hasil tinjauan bersama Pengarah JKDM pada 20 Mei 2026 mendapati bahawa antara punca utama kejadian banjir kilat adalah disebabkan saluran keluar sistem perparitan di kawasan tersebut dipenuhi pasir pantai. Keadaan ini berpunca daripada fenomena air laut pasang surut yang menyebabkan kemasukan pasir ke dalam saluran berkenaan sehingga menghalang aliran air.
Sehubungan itu, Yang Dipertua MPPD telah mengarahkan jabatan berkaitan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasir secara berkala bagi memastikan kelancaran sistem perparitan. Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan benteng penahan jenis gabion di hadapan saluran keluar sebagai langkah mitigasi bagi menghalang kemasukan pasir ke dalam saluran semasa kejadian air pasang surut.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut meneliti dan membantu menyelesaikan isu laluan masuk ke pejabat JKDM yang terjejas akibat aktiviti perniagaan di tapak Benteng Malam yang terletak di hadapan premis tersebut.






