LAWATAN TURUN PADANG SETIAUSAHA MPPD BAGI MEMANTAU KERJA-KERJA PEMASANGAN LAMPU SOLAR DI TAMAN PD ERA FASA 2, PORT DICKSON
Tarikh : 20 Oktober 2026
Lokasi : Taman PD Era Fasa 2, Port Dickson
Jabatan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengadakan lawatan turun padang bagi memantau pelaksanaan kerja-kerja pemasangan lampu solar di Taman PD Era Fasa 2, Port Dickson sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempertingkatkan kemudahan pencahayaan awam dan keselamatan kawasan perumahan.
Lawatan ini diketuai oleh Setiausaha MPPD, YBrs. Encik Mohd Azizul Hakim bin Zaini, bersama Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPD, Encik Mohamad Mohaiyaddin bin Hasin, Penolong Jurutera serta pihak kontraktor bagi meninjau secara langsung kemajuan pelaksanaan projek dan memastikan kerja-kerja pemasangan dilaksanakan mengikut skop, spesifikasi teknikal serta standard kualiti yang ditetapkan.
Pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan pada waktu malam, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk setempat.
Penggunaan teknologi lampu solar turut menyokong inisiatif pembangunan mampan melalui pemanfaatan tenaga boleh diperbaharui yang lebih cekap dan mesra alam.
Lawatan turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan MPPD dalam memastikan setiap projek infrastruktur dipantau secara proaktif dan berkesan demi memperkukuh kualiti kemudahan awam serta kesejahteraan masyarakat Port Dickson.






