KURSUS PENGUKUHAN PEMANTAPAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG KECIL DAN TINDAKAN PERUNDANGAN PBT
Port Dickson, 23 Jun 2026 – Unit Perundangan, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah berjaya menganjurkan Kursus Pengukuhan Pemantapan Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil dan Tindakan Perundangan Pihak Berkuasa Tempatan pada 22 dan 23 Jun 2026 bertempat di D’Wharf Hotel & Serviced Residence, Port Dickson.
Program ini bertujuan memperkukuh kompetensi pegawai dan kakitangan MPPD dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan secara lebih efisien, sistematik dan berkesan selaras dengan kehendak perundangan semasa.
Antara pengisian kursus termasuk tatacara pengeluaran kompaun, jenis-jenis kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Akta serta Undang-Undang Kecil PBT, selain pendedahan kepada prosedur tindakan undang-undang yang berkuat kuasa.
Peserta turut diberi pendedahan berkaitan penyediaan kertas siasatan yang lengkap serta latihan simulasi perbicaraan di mahkamah bagi meningkatkan kefahaman aspek teknikal pendakwaan.
Seramai 32 orang pegawai penyiasat MPPD daripada pelbagai jabatan telah menyertai kursus ini, termasuk Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, Jabatan Landskap & Pengindahan Bandar, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Perkhidmatan Perbandaran & Kesihatan.
Tuan Rashidi bin Abd Rahim, Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), telah dijemput sebagai penceramah utama bagi berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam tadbir urus perundangan PBT.





