LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA MPPD KE PUSAT INFORMASI PELANCONGAN, TELOK KEMANG
Pada 15 Jun 2026, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Hasnor bin Abd Hamid, telah mengadakan lawatan turun padang ke Pusat Informasi Pelancongan, Telok Kemang bagi meninjau status terkini kerja-kerja pengubahsuaian yang telah dilaksanakan di bangunan tersebut.
Lawatan ini turut disertai oleh Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandar serta Jabatan Perkhidmatan Perbandaran & Kesihatan MPPD.
Sepanjang lawatan, Yang Dipertua MPPD telah meneliti hasil kerja-kerja pengubahsuaian yang telah siap serta keadaan semasa bangunan bagi memastikan kemudahan tersebut berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk dimanfaatkan sepenuhnya.
Lawatan ini turut menjadi platform perbincangan mengenai cadangan penggunaan bangunan pada masa hadapan, termasuk potensi untuk dijadikan ruang sewaan yang dapat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan komuniti setempat atau digunakan sebagai kemudahan pejabat serta operasi kakitangan MPPD.
Usaha ini selaras dengan komitmen MPPD dalam memastikan aset majlis diurus dan dimanfaatkan secara optimum, di samping menyokong pembangunan pelancongan serta meningkatkan kualiti kemudahan awam di Port Dickson.





