PROGRAM ‘KICK START’ PENUTUPAN PASAR TELUK KEMANG SETIAP HARI ISNIN
Port Dickson, 8 Jun 2026 – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama SWCorp Cawangan Port Dickson dan SWM Environment Sdn. Bhd. Cawangan Port Dickson telah menganjurkan Program ‘Kick Start’ Penutupan Pasar Setiap Hari Isnin di Pasar Teluk Kemang bermula pada jam 8.00 pagi hingga selesai. Program ini merupakan kesinambungan kepada Program ‘Kick Start’ siri terdahulu yang telah dilaksanakan di Pasar Besar Port Dickson dan Pasar Lukut pada 5 Januari 2026 dan 9 Februari 2026 yang lalu.
Program ini merupakan inisiatif awal bagi pelaksanaan penutupan operasi pasar awam utama pada setiap hari Isnin yang telah bermula sejak Januari 2026. Pelaksanaan tersebut bertujuan memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan berkala bagi meningkatkan tahap kebersihan, kesihatan awam serta keselesaan peniaga dan pengunjung di tiga lokasi utama iaitu Pasar Besar Port Dickson, Pasar Lukut dan Pasar Teluk Kemang.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Hasnor bin Ab Hamid, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, serta diiringi oleh Ahli Majlis MPPD yang diwakili oleh En. Nasir bin Raman dan En. Zamrry bin Ibrahim, di samping kehadiran En. Mohd Azizul Hakim bin Zaini, Setiausaha MPPD serta Haji Muhammad Bazlan bin Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPPD.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPD, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPPD, Pengarah Jabatan Pelancongan, Korporat dan Komuniti MPPD, serta wakil daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPPD yang turut bersama-sama turun padang menyertai aktiviti pembersihan serta meninjau keadaan persekitaran di keseluruhan kawasan pasar awam bagi mengenal pasti isu-isu kebersihan, penyelenggaraan dan kemudahan yang memerlukan tindakan penambahbaikan secara berterusan.
Selain itu, program ini turut menyaksikan penglibatan aktif staf Jabatan Penguatkuasaan MPPD serta para peniaga Pasar Teluk Kemang yang bersama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan aktiviti pembersihan pasar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kerja-kerja mencuci lantai, pembersihan longkang, pengurusan sisa pepejal serta pembersihan kawasan gerai dan ruang awam pasar dengan kerjasama pihak konsesi pembersihan dan para peniaga pasar awam.





